Budaya baru telekung solat



PEMAKAIAN yang menutup aurat ketika bersolat di kalangan wanita mempunyai hubung kait dengan budaya setempat kerana wanita di Asia Tenggara khususnya orang Melayu biasanya mengenakan telekung untuk melakukan ibadat itu sama ada dalam solat fardu atau sunat.

Telekung yang berbentuk kain selubung putih untuk menutup tubuh yang turut dikenakan dengan kain yang labuh menjadi identiti budaya kepada orang Melayu sehingga mereka mudah dikenali sebagai rumpun Nusantara.

Meskipun telekung biasanya berwarna putih, mutakhir ini ramai wanita Melayu-Islam yang memilih telekung dengan pelbagai warna dan corak yang bervariasi seperti yang dijual di pasaran.
Bagaimanapun, trend baru yang memberi suntikan baru dalam budaya Melayu itu, ada kalanya mengundang perasaan riak kepada pemakai kerana kononnya berasa hebat dengan telekung itu, sekali gus mengubah fungsinya yang asasi, iaitu menutup aurat ketika bersolat.

Pensyarah Pengajian Budaya, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yusmilayati Yunos, mengakui pemakaian telekung yang mempunyai warna dan corak pelbagai boleh mengundang masalah riak dan perasaan menunjuk-nunjuk sehingga mengubah niat asal ke masjid selepas mendapat pujian.

“Situasi ini memang berlaku apatah lagi sekiranya telekung yang dipakai itu berbeza warna dan coraknya serta jarang diperoleh di pasaran sehingga tidak mustahil niat asal untuk menunaikan solat sedikit tersasar dek perasaan bangga atau menganggap diri mereka hebat kerana telekung yang dipakai itu.

“Sebenarnya, tidak salah untuk memakai telekung yang cantik coraknya dan berbeza warna daripada orang lain berdasarkan minat dan kemampuan individu kerana ada di kalangan orang kita yang membeli telekung berbeza mungkin kerana tertarik dengan apa yang ditawarkan oleh peniaga,” katanya kepada Sastera di UKM, Bangi, baru-baru ini.

Yusmilayati berkata, pemakaian tudung yang bervariasi juga boleh mengganggu khusyuk jemaah sekiranya mereka menjadi leka dengan keindahan tudung itu terutama sekiranya individu terbabit berada di hadapan.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak pemakaian tudung yang menampilkan keindahan sulaman itu kerana ia termasuk dalam seni halus dalam konteks budaya, selain kehalusan sulaman itu juga memperlihatkan perkembangan kesenian masyarakat Melayu di Nusantara.

“Malah, Islam sendiri menggalakkan kita untuk memakai pakaian yang bersih dan cantik meskipun ia tidak mahal atau baru kerana Allah SWT sendiri sukakan perkara kecantikan.

“Pujian orang lain terhadap pemakaian tudung yang cantik juga wajar dianggap sebagai pemula bicara dan kesantunan bahasa, sekali gus bukan didorong sifat ingin menyibuk terhadap peribadi orang lain,” katanya.

Pemilik Butik Telekung Siti Khadijah, Padzilah Enda, pula menganggap penjualan telekung yang pelbagai variasi di pasaran sebagai bukti kemajuan fesyen masyarakat hari ini, manakala pemilihan telekung yang beraneka corak dan warna pula bergantung kepada kecenderungan dan keselesaan pemakai.

“Sebenarnya, pemilihan telekung yang tepat membuatkan pemakai lebih selesa untuk beribadah, selain menampilkan keperibadian yang anggun dan ciri Muslimah yang bersih, sekali gus ia bertepatan dengan galakan Islam.

“Saya rasa tidak salah jika kita ingin membeli telekung yang mahal harganya dan mempunyai sulaman yang pelbagai kerana ia bergantung kepada kemampuan individu itu sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, Padzilah mengingatkan, ia bergantung kepada niat dan keikhlasan mereka ketika menunaikan solat, selain memelihara nawaitu untuk berpakaian cantik dan indah sebagai persediaan berdepan dengan kekasih yang agung, iaitu Allah SWT.

“Oleh itu, telekung di butik kami masih mengekalkan warna putih kerana saya menganggap telekung sebagai rasmi wanita Melayu Islam dalam sembahyang.
“Malah, saya sendiri menekankan aspek keselesaan di bahagian muka bagi mengelakkan rambut terkeluar dan saiz yang longgar bagi mengelakkan perasaan kurang khusyuk ekoran ketidakselesaan itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment