Sejuta penonton TV9 waktu perdana

LEBIH kurang sebulan dari sekarang, sebelum tahun 2010 melabuhkan tirainya untuk beranjak ke 2011, stesen televisyen TV9 telah menyediakan rancangan-rancangan yang menarik buat para penontonnya.
Stesen di bawah naungan Media Prima Berhad itu kali ini lebih memfokuskan kepada tayangan drama dan telemovie menarik bagi mengisi ruang tersebut termasuklah cuti sekolah menerusi rancangan-rancangannya.
Ketua Pengurusan Jenama Kumpulan TV9, Feisal Abd. Malik berkata, stesen itu memilih untuk menyiarkan drama dan telemovie bagi menarik lebih ramai penonton mengikuti siaran saluran itu terutamanya pada waktu perdana.

“Kami menyasarkan sejuta penonton mengikuti siaran TV9 pada sepanjang Disember ini pada waktu perdana iaitu dari pukul 9 malam hingga 11 malam termasuklah melalui kempen Istimewa Disember yang kami rancang ini.

“Kami akan menayangkan lima tayangan termasuk drama dan telemovie bagi mencapai sasaran tersebut,” katanya kepada Hits sewaktu ditemui selepas pelancaran Istimewa Disember di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menerusi kempen itu, sebanyak lima drama dan telemovie dalam genre romantik dan cerita ringan akan ditayangkan.

Drama serta telemovie yang akan ditayangkan itu berjudul Aku, Kau & Dia (1 Disember, 10.30 malam), Teh O Ais Limau (8 Disember, 10.30 malam), Duda Berhias (15 Disember, 10.30 malam), Haruskah Aku Mati (22 Disember, 10.30 malam) dan 5 Disember (29 Disember, 9.30 malam).

Menurut Feisal, setakat ini sudah ada rancangan terbitan TV9 seperti pertandingan nyanyian kanak-kanak Idola Kecil musim ketiga yang berjaya menarik bilangan penonton mencecah sejuta orang sewaktu konsert minggu keduanya baru-baru ini.

“Setakat ini Idola Kecil 3 mencatat rating penonton paling ramai iaitu seramai 1.1 juta orang. Ia mengalahkan siri kartun Upin & Ipin yang hanya mampu mengumpul seramai 800,000 penonton sewaktu tayangannya.
“Malah, kami juga boleh berbangga kerana sehingga kini TV9 berjaya meraih 8 peratus daripada perkongsian rating penonton berbanding stesen-stesen TV lain. Kami yakin jumlah itu akan terus meningkat pada masa depan,” ujarnya.

Bagi menjayakan kempen Istimewa Disember itu, TV9 katanya, sanggup mengeluarkan bajet dan kos yang tinggi semata-mata bagi membeli hanya drama dan telemovie yang terbaik untuk disiarkan melalui slot itu.
Sungguhpun enggan mendedahkan kos yang diperuntukkan untuk tujuan tersebut, namun Feisal yakin pendekatan itu mampu untuk memenuhi permintaan para penonton TV9, apatah lagi pada musim cuti sekolah ini.

“Selain itu, sepanjang kempen ini kami juga mengadakan peraduan Tonton dan Menang Yeah Yeah Cuti Sekolah serta Peraduan Tulis dan Menang yang menyediakan hadiah berupa iPod dan permainan video PS3,” katanya.

Jelasnya, para penonton hanya perlu menonton rancangan-rancangan seperti Perman, Upin & Ipin dan Kochikame dengan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan bersama slogan bagi memenangi hadiah tersebut.

Lebih menyeronokkan kata Feisal, TV9 juga akan menganjurkan Karnival Cuti Sekolah Upin & Ipin yang akan diadakan di Melaka Wonderland pada 4 hingga 7 Disember ini dari pukul 10 pagi hingga 6 petang dan Pusat Konvensyen Shah Alam dari 24 hingga 28 Disember ini waktu yang sama.

“Pada karnival itu, para ibu bapa bukan sahaja boleh membawa anak-anak mereka bertemu dengan maskot Upin dan Ipin secara lebih dekat tetapi juga membeli pakaian dan peralatan sekolah yang turut dijual di situ,” terangnya lagi.

No comments:

Post a Comment