Kematangan rekaan IFF

Kematangan rekaan IFF


Gaya ketimuran rekaan pereka Indonesia, Malik Mustaram.


PENTAS peragaan bagi Festival Fesyen Islam (IFF) Kuala Lumpur, kali keenam bermula 7 hingga 12 November ini menampakkan kematangan para perekanya dengan rekaan yang sopan dan manis.
Malah penampilan pereka yang terlibat langsung dalam IFF memperlihatkan pemahaman dan kerja keras dengan menampilkan hasil karya terbaik serta menepati ciri-ciri berpakaian secara Islam.
Kini, busana Muslim bukan sahaja mempunyai peminat serta pengikut setia yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa tetapi lebih membanggakan, ia menjadi medium mengeratkan pelbagai budaya bangsa.
Mengangkat tema Moghul Splendour, IFF kali ini menerapkan pengaruh dari era kegemilangan Dinasti Moghul, di mana keanggunan dan kemewahan diperlihatkan dalam pelbagai cabang seni.
Fesyen yang diperagakan meliputi semua acara daripada gaun malam, pakaian majlis rasmi, keraian sehinggalah pakaian harian yang mampu dan mesti dimiliki.
Pada majlis perasmian lalu, festival ini yang dirasmikan oleh Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pastinya menjadi satu kenangan dan persepsi baru busana Muslim dengan rekaan yang lebih sopan dan moden.
Pada acara penuh ceria itu, IFF berjaya menampilkan busana penuh idea dan kreatif hasil pereka pelbagai budaya dan agama sehingga mampu mengadaptasikan pendekatan halus berkaitan busana Muslim.
Apatah lagi, fesyen adalah bahasa universal yang mampu menterjemahkan pelbagai perasaan dan apresiasi daripada ragam budaya dan bangsa dunia.
Peragaan kali ini menampilkan idea kreatif, dan semakin moden tanpa meninggalkan unsur sopan dan unsur-unsur Islamik dalam rekaan.
Menerusi perkembangan terbaru ini, ia turut memberi petanda bahawa IFF mengubah stigma stereotaip fesyen Islam.
Penampilan pereka baru Ashnita&Ashniza yang membawa tema Jodha Akbar, bagaikan membawa mesej yang tersendiri. Apatah lagi dengan kemasan pelbagai aksesori menarik.
Pengunaan fabrik mewah seperti sutera jacquard, organza, satin, sifon adalah antara kekuatan busana pereka baru itu berentap di pentas peragaan IFF.
Malah, ketelitian pada sulaman tangan serta rekaan moden mampu menghasilkan busana yang penuh bergaya. Kita harapkan IFF merealisasikan hasrat menjadikan kota Kuala Lumpur sebagai kota fesyen Islam seperti London-Paris-New York sebagai pusat fesyen barat terkemuka di dunia.

No comments:

Post a Comment