siHaT caNtiK

 5 perkara perlu diberi perhatian

Semua wanita sekiranya boleh mahu tampil cantik dan menarik setiap hari. Oleh itu tidak hairanlah kalau pelbagai barangan dan produk kecantikan memenuhi ruang meja solek anda. Dalam pada anda sibuk menata rias wajah, pastikan jua tahap kebersihan barangan tersebut dititikberatkan. Jangan hanya pandai mengguna tetapi tidak mahu membersihkannya.

Selain berfungsi sebagai alat bantu, anda juga perlu memastikan ia bebas dari sebarang kotoran yang boleh menyebabkan penyakit. Apatah lagi, alat-alat tersebut boleh menjadi jambatan bakteria untuk memasuki tubuh anda. Apa kata anda semak lima benda penting yang perlu anda beri perhatian lebih terutama bagi mendapatkan kesihatan dan kecantikan kulit.

1. Berus gigi
Bagi mereka yang baru sahaja sembuh dari sakit, segera cuci berus gigi. Anggap ini adalah ungkapan perpisahan antara anda dan kuman yang boleh menyebabkan penyakit. Kaedah terbaik mematikan kuman adalah dengan memasukkan berus ke dalam air mendidih selama lima minit atau dimasukkan dalam microwave selama 10 minit.

Selain itu, anda boleh menggantikan berus gigi baru secara berkala, misalnya dua bulan sekali atau apabila bulu pada berus gigi anda sudah tidak elok bentuknya untuk diguna pakai. Anda perlu memberus gigi sekurang-kurangnya dua minit sebanyak dua kali sehari, pagi dan malam. Selain itu, pernah anda terfikir bahawa bahagian paling hujung ubat gigi pernah menyentuh berus gigi orang lain yang belum tentu sebersih berus gigi anda?

Justeru, untuk menghindari dari sebarang masalah terutama kuman merebak pada berus gigi, buanglah sedikit hujung ubat gigi sebelum anda meletakkannya di atas berus gigi anda.

2. Sikat rambut
Cucilah sekurang-kurang sebulan sekali sikat rambut yang anda gunakan setiap hari. Sisa minyak kulit kepala, minyak rambut, semburan rambut dan juga kelemumur pasti akan tertinggal di gerigi sikat rambut anda. Akibatnya, rambut yang sudah siap di syampu akan kembali kotor ketika disikat. Anda boleh atasinya dengan merendam sikat ke dalam air sabun selama beberapa minit sebelum membersihkannya dan dikeringkan.

3. Berus mekap
Debu atau mekap yang sudah lama tertinggal akan membuatkan sapuan bedak dan kerana pemerah pipi di wajah anda tidak lagi sempurna. Apatah lagi jika berus yang digunakan kotor. Padahal anda perlu memastikan berus untuk solekan sentiasa bersih untuk mendapatkan warna yang inginkan.

Bagi memastikan ia sentiasa bersih, seeloknya anda mencucinya setiap kali selesai menggunakannya. Cara mudah untuk mencuci berus pembayang mata, pemerah pipi, berus kening mahupun berus untuk ‘loose powder’ adalah dengan menggunakan sabun lembut. Bilas dengan air bersih dan jemur sehingga kering. Pastikan anda menggosok berus secara lembut dengan tangan untuk mengelakkan bulu berus dari tercabut.

4. Sarung bantal
Semua kotoran pada rambut yang belum dibersihkan, sisa mekap di wajah atau mungkin mekap malam hari anda akan sangat mudah melekat pada sarung bantal anda. Kotoran sebegini boleh menyebabkan wajah anda mudah terdedah pada bakteria sehingga boleh menyebabkan wajah terlihat kotor, kusam dan mudah berjerawat.

Jadi anda perlu memastikan sarung bantal anda ditukar setiap malam seperti mana anda menukar pakaian yang anda kenakan. Begitu pun, tidak salah sekiranya anda tidak menukar setiap malam, asalkan tidak kotor. Tetapi jika anda terlalu berpeluh atau merawat muka di malam hari, sebaiknya gantikan sarung bantal yang baru bagi mengelakkan bakteria mudah melekat pada kulit wajah.
Sarung bantal yang diperbuat daripada satin sutera baik untuk kulit wajah anda kerana material sebegini tidak mudah berkedut. Jadi, anda boleh bangun pagi tanpa ada garis-garis tidur di wajah.

5. Bantal
Cucilah bantal sekurang-kurangnya tiga bulan sekali atau gantilah bantal anda apabila sudah setahun digunakan. Biarpun bentuknya masih elok dan boleh digunakan namun bantal sebegini mudah menjadi tempat pembiakan hama ataupun pijat yang boleh mendatangkan pelbagai penyakit.

Disebabkan saiznya yang sangat kecil, maka ia mudah sekali diterbangkan oleh angin dan memasuki saluran nafas. Malah, mereka yang mempunyai alergi mudah terdedah pada implikasi tersebut termasuklah mudah bersin, batuk atau boleh menyebabkan berlakunya asma dan sebagainya.

TIPS CANTIK
Bagi memastikan solekan tampil sempurna soal kebersihan dan teknik yang digunakan juga penting. Oleh itu ikuti beberapa tip yang boleh anda praktikkan berkaitan perkara ini.

• Bersihkan kotoran degil dengan menggunakan kapas yang dicelup dengan pencuci mekap. Hati-hati, jangan sampai terkena mata. Pilih pencuci mekap berasaskan minyak untuk membuang kesan-kesan solekan pada muka. Bilas dengan air untuk menanggalkan sepenuhnya sisa minyak tersebut.

• Gunakan pembersih muka berbuih setiap pagi untuk mencuci muka. Ini bagi memastikan kawasan berminyak benar-benar bersih selain mengatasi masalah berlakunya tompok-tompok hitam. Urut seketika dan tumpukan pada kawasan berminyak.

• Jangan bersolek sebelum mengeringkan rambut anda kerana bahang panas dari pengering rambut itu akan menyebabkan solekan anda cair atau bertompok.

• Sekiranya anda kehabisan cecair untuk garisan mata, celupkan berus nipis kepada maskara dan lakukan kaedah serupa ketika menyapunya di mata.

Cantik di hati:
Setiap hari kita adalah manusia yang berbeza. Semalam kanak-kanak. Hari ini remaja dan esok, hari tua. Semuanya menjadikan kita dan masa sungguh bermakna.

No comments:

Post a Comment