Kosmetik halal

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman dan Zainab Mohd Yatim\
 bhnews@bharian.com.my 
2010/06/24

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak menandatangi plak "MS 2200:2008 - Standards on Halal Cosmetic & MS 2400:2010 - Standards on Halal Logistics" selepas melancarkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Menteri Perdagangan Antarabangsan dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Maximus Ongkili (tengah). - Foto Bernama
 
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak menandatangi plak "MS 2200:2008 - Standards on Halal Cosmetic & MS 2400:2010 - Standards on Halal Logistics" selepas melancarkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Menteri Perdagangan Antarabangsan dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Maximus Ongkili (tengah). - Foto Bernama
 
Kerajaan perkenal dua piawaian baru pastikan status produk selamat, tidak diragui

KUALA LUMPUR: Malaysia yang komited mewujudkan pelbagai piawaian halal dan memenuhi amalan antarabangsa, semalam melancarkan dua lagi pensijilan halal baru, Piawaian Kosmetik Halal MS2200:2008 dan Piawaian Logistik Halal MS2400:2010. Pensijilan halal produk kosmetik memperincikan garis panduan lengkap bagi menggunakan kosmetik halal dan juga barangan penjagaan peribadi manakala pensijilan logistik pula adalah piawaian pertama seumpamanya di dunia merangkumi tiga komponen utama iaitu pengangkutan, simpanan gudang dan peruncitan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melancarkannya, berkata pensijilan itu mengutamakan rangka kerja untuk sesebuah organisasi mengukuhkan sistem pengurusannya berasaskan konsep dan prinsip halalan toyyiban (halal dan baik).

“Kami mahu dan bersedia berkongsi kepakaran, pengalaman serta pengetahuan dalam membangunkan pensijilan berkenan. Malaysia juga akan meneruskan inisiatif mewujudkan pensijilan baru supaya pihak industri dan umat Islam mendapat manfaat daripadanya,” katanya berucap merasmikan Pameran Makanan Halal Antarabangsa (MIHAS) 2010 dan Sidang Kemuncak Penyelidikan Halal Antarabangsa 2010 di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), di sini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Tan Sri Dr Syed Jamaludin Syed Salim.
MIHAS 2010 bertema Mengembangkan Pengaruh Halal berlangsung selama lima hari berakhir Ahad ini, menghimpunkan lebih 1,200 pengeluar produk halal dari dalam dan luar negara. Sebanyak 32 negara menyertai MIHAS 2010 termasuk Iran, China, Indonesia, Singapura, Arab Saudi, Perancis, United Kingdom, Albania, Belgium, Hong Kong dan Itali.

Pensijilan halal Malaysia bermula pada 2005 iaitu MS1900:2005 menerusi Sistem Pengurusan Kualiti, MS1500:2009 (Makanan Halal-Pengeluaran, Pengendalian dan Penyimpanan) serta MS2300:2009 (Sistem Pengurusan Berasaskan Nilai).

Perdana Menteri berkata, Malaysia bersedia menjadi hab antarabangsa yang menyokong dan membantu meningkatkan pelbagai industri halal global kerana dunia mengetahui negara ini memiliki keupayaan membangunkan pensijilan industri halal yang memenuhi piawaian amalan antarabangsa.

“Ketika kita mengenal pasti pelbagai peluang dalam pasaran produk halal, masih banyak halangan dihadapi bagi memastikan potensinya dapat dikembangkan. Satu daripadanya adalah kekurangan piawaian halal asas untuk dinikmati komuniti Islam sedunia,” katanya.

Najib berkata, dalam bidang piawaian halal, Malaysia banyak membantu bagi pertumbuhan industri halal global seperti mempunyai pusat rujukan pengetahuan sijil halal dan perkhidmatan berkaitan status halal.

Katanya, Malaysia turut menawarkan tapak kepada pengendali perniagaan halal antarabangsa di samping menyediakan segala elemen menarik yang diperlukan pelabur untuk menanam pelaburan di negara ini seperti infrastruktur, telekomunikasi tinggi dan logistik.

“HDC mengambil inisiatif mewujudkan Pusat Sokongan Halal Global (GHSC) kepada pelabur dan pengguna. HDC turut memperkenalkan aplikasi halal berinovatif pada iPhone bagi memudahkan pengguna mencari lokasi premis menjual makanan halal menerusi Sistem Pengesanan Global (GPS) dan khidmat Peta Google,” katanya.

Perniagaan halal yang ditawarkan Malaysia juga disokong oleh sistem kewangan dan perbankan canggih sekali gus menarik kewujudan 38 institusi kewangan Islam di negara ini merangkumi domestik dan antarabangsa.

Beliau berkata, 18 daripada institusi terbabit, lima adalah bank pelaburan, tujuh syarikat dana Islam dan syarikat pengurusan kewangan serta lapan syarikat Takaful.

Selain itu, katanya, Malaysia turut mempunyai dasar yang kukuh dan menarik sebagai hab strategik dalam capaian perkhidmatan kewangan berasaskan syariah termasuk insentif cukai yang dilanjutkan sehingga 2015 dan pengecualian duti setem 20 peratus bagi produk kewangan Islam.

No comments:

Post a Comment